Make your own free website on Tripod.com

Sejarah 'Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat' bermula sebagai 'Sekolah Menengah Vokasional Batu Pahat'. Sekolah ini dibina pada awal 1984 melalui pakej pertama pinjaman berjumlah RM 30 juta dari Asian Development Bank. Prasarana dan lanskap yang tersergam indah di atas tanah seluas 21 hektar (30 ekar) ini terletak di lokasi strategik di Kilometer 7 (Batu 4.5) Jalan Kluang - Batu Pahat, siap dibina pada tahun 1995.

Struktur fizikal masa kini merangkumi unit akademik, asrama pelajar dan kediaman kakitangan. Unit akademik terdiri daripada blok pentadbiran , bilik-bilik darjah, makmal sains, bengkel, dewan serbaguna, padang dan gelanggang permainan. Terdapat juga tujuh blok asrama pelajar, sebuah surau dan sebuah dewan makan. Unit-unit kediaman adalah terdiri daripada enam unit kediaman warden asrama, satu unit kediaman ketua warden, lima unit kediaman guru, lapan unit kediaman kakitangan sokongan, satu unit kediaman pengetua dan penolong kanan 1.

Organisasi pentadbiran sekolah bermula pada i Januari 1986 dengan kehadiran 21 orang guru di bawah pimpinan Tn. Hj. Mohd Dom bin Mohd Yunus, Guru Penolong Kanan 1 dari Sekolah Menenganh Teknik Muar, yang memangku jawatan pengetua hingga 1987. Sesi akademik pertama bermula pada 20 April 1986, dengan kemasukan kumpulan perintis seramai 238 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM). Antara bidang-bidang pendidikan vokasional yang ditawarkan termasuklah Elektrik, Elektronik, Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan dan Fabrikasi Logam, Automotif, Binaan Bangunan, Penyejukan dan Penyamanan Udara. Mulai 1 Jun 1987, sekolah ini menerima pengetua yang pertama, Tn. Hj. Mohd Rafdi bin Hj. Mohd Taha.

Mulai tahun 1992, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dalam sistem pendidikan vokasional. Berdasarkan kepada keupayaan dan minat, pelajar-pelajar dijuruskan ke aliran pendidikan vokasional dan kemahiran Pelajar-pelajar aliran vokasional disalurkan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV). Mereka disyaratkan mengambil mata-mata pelajaran kumpulan teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik (Sukatan C), Rampaian Sains, Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral disamping turut mat-mata pelajaran elektif vokasional. Kumpulan pelajar aliran kemahiran pula mengikuti Kursus Kemahiran untuk menduduki peperiksaan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan peringkat asas pada akhir tahun pertama (Tingkatan Empat) dan Peringkat Pertengahan pada akhir tahun kedua (Tingkatan Lima).

Pada 16 November 1995, sekolah ini adalah di antara 20 buah sekolah yang terpilih daripada 69 buah sekolah-sekolah menengah vokasional di seluruh negara, telah dinaikkan taraf menjadi sekolah menengah Teknik. Perubahan ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai ahli teknologis dan tenaga mahir yang lebih berkemampuan bagi memenuhi keperluan perlaksanaan Pelan Induk Perindustrian negara selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Mulai saat itu sekolah ini dikenali sebagai Sekolah menengah Teknik Batu Pahat. Serentak dengan itu, Encik Yaacob bin A. Kadir melaporkan diri sebagai Pengetua Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat pada 16 November 1995.

Sesuai dengan fungsi sebagai sebuah Sekolah Menengah Teknik, proses pengubahsuaian telah turut dijalankan. Antaranya tiga buah bengkel, iaiatu bengkel Binaan Bangunan, bengkel Penyejukan dan Penyamanan Udara dan bengkel Elektronik telah diubahsuai menjadi makmal Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik. Makmal-makmal Sains Am, Makmal Bahasa dan Bilik Lukisan telah diubahsuai menjadi Makmal Sains Tulen seperti Fizik dan Kimia. Sehubungan dengan kenaikan taraf ke Sekolah Menengah Teknik, 1998 telah dimulakan projek membina satu blok terdiri daripada 23 bilik darjah, satu blok makmal sains tulen, bilik guru, bilik lukisan dan makmal komputer. Selain itu unutk menampung bilangan pelajar yang bertambah, kantin sekolah juga turut diperbesarkan.

Kumpulan pertama pelajar yang terpilih memasuki Tingkatan Empat Teknik di Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat telah mendaftarkan diri pada 10 Januari 1996 untuk mengikuti pengajian Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekanikal.